mutakhir

Zahid wajar diberi peluang - Ab Rauf

Oleh Amir Mamat

KEPUTUSAN Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menolak sebarang jawatan dalam Kabinet Kerajan Perikatan Nasional (PN), bukti beliau berjiwa besar.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata Umno negeri kekal dengan pendirian untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ahmad Zahid yang meletakkan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Ahmad Zahid wajar diberikan ruang dalam Kabinet kerajaan PN kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu belum dibuktikan bersalah atas kes yang dihadapinya.

“Sebagai Presiden parti dalam Kabinet PN yang menyumbang seramai 39 Ahli Parlimen Umno, adalah wajar bagi Datuk Seri Ahmad Zahid diberikan ruang untuk menyertai kabinet kerana kes yang dikaitkan dengannya masih belum disabitkan bersalah oleh mahkamah.

“Selagi prosiding perbicaraan masih berjalan dan mahkamah belum mensabitkan bersalah, maka beliau tidak seharusnya dianggap bersalah,” katanya selepas Program Penerangan Isu Semasa Umno di Masjid Tanah, di sini malam tadi.

Semalam, Ahmad Zahid berkata beliau tidak akan menawarkan diri untuk dilantik memegang sebarang jawatan dalam Kabinet kerajaan PN.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dilaporkan berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai pertimbangan sewajarnya untuk melantik barisan Kabinet yang berkelayakan, berwibawa dan berkemampuan untuk membantunya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, terdapat dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini terpalit dengan kes mahkamah tetapi tetap diberikan jawatan dalam Kabinet kerajaan.

“Jika dilihat kembali sebelum ini, terdapat beberapa pemimpin PH yang masih dalam perbicaraan tetapi dilantik menganggotai Kabinet.

“Kes berkenaan akhirnya tidak diteruskan atas arahan Peguam Negara ketika itu,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 10:46am
d