mutakhir

PH Johor mohon Sidang Khas DUN [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

PAKATAN Harapan (PH) Johor menyerahkan surat permohonan Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan kepada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, hari ini.

Penyerahan surat berkenaan diadakan di hadapan Pejabat Speaker di Bangunan DUN Johor, Iskandar Puteri, kira-kira jam 11 pagi hari ini.

Penyelaras PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, surat permohonan berkenaan dihantar bagi membolehkan kesahihan sokongan majoriti yang didakwa diperoleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad disahkan.

“PH Johor bukan mempertikai apa lagi menderhaka kepada keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar namun hanya mahu bukti dan pengesahan sokongan majoriti didakwa diterima Menteri Besar.

“Kami terima dengan hati terbuka keputusan baginda namun kami mempertikaikan kesahihan dakwaan Menteri Besar yang mendakwa mendapat sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH, iaitu tiga Adun PKR dan dua Adun Parti Amanah Negara (Amanah).

“Sebaliknya hanya seorang Adun PH yang menyeberang ke gabungan baru itu. Kami menjunjung ketelusan bukan pembohongan bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baharu,” katanya yang juga Pengerusi Amanah Johor.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan surat permohonan berkenaan.

Turut hadir, Timbalan PKR Johor, Jimmy Pua Wee Tse, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pemuda DAPSY Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, permohonan Sidang Khas DUN Johor itu berdasarkan perkara 7(1) dan 7(2) Peraturan Dewan Negeri Johor.

“Ia adalah bagi menentukan sokongan yang diterima oleh Menteri Besar Johor sesuai dengan maksud Fasal 4(6) Undang-Undang Negeri Johor, ” katanya.

Dalam perkembangan lain, Suhaizan berkata, beliau akan menilai justifikasi permohonan surat terbabit sebelum tindakan seterusnya dibuat.

“Sebarang tindakan yang akan diambil akan dimaklumkan Pejabat Speaker, ” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 12:48pm
d