mutakhir

Prosiding tertangguh kerana bau hangit [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PROSIDING di Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu ditangguhkan selama 30 minit selepas kakitangan terhidu bau hangit.

Dalam kejadian 11.50 pagi itu, semua kakitangan mahkamah, orang awam dan tahanan lokap di dalam kompleks itu diarahkan keluar bagi tujuan keselamatan dan pemeriksaan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.56 pagi sebelum 15 anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama dua jentera.

Katanya, pihaknya sampai di lokasi pada 12 tengah hari sebelum pemeriksaan mendapati terdapat asap berserta bau hangit di pejabat kewangan di tingkat tujuh.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ia hanya membabitkan kebakaran lampu kalimantang.

“Kita menamatkan operasi selepas 30 minit pemeriksaan dan semua yang berkenaan dibenarkan memasuki bangunan dan meneruskan operasi seperti biasa.

“Bagaimanapun, pasukan forensik bomba meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya ketika ditemui di perkarangan kompleks berkenaan.

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 2:32pm
d