mutakhir

3 tokan dadah ditahan

Oleh Hamzah Osman

POLIS menahan tiga ‘tokan’ dadah dan merampas heroin dan syabu seberat 749.28 gram (g) dalam dua serbuan berasingan di Langkawi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata, semua suspek berusia antara 26 dan 28 tahun itu ditahan pada 12.15 tengah malam.

“Dalam serbuan pertama berhampiran deretan kedai di Kampung Bukit Tangga, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang menaiki sebuah kereta.

“Ketika serbuan, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi hampir dirempuh suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Iqbal berkata, suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan menemui tiga peket heroin seberat 18.88 g, tujuh peket syabu 17.10 g dan 23 pil WY.

“Berikutan penahanan dan dipandu suspek, polis turut menemui enam peket heroin lagi dalam almari di sebuah bilik di sebuah chalet di Pantai Chenang.

“Siasatan mendapati, suspek yang juga seorang penganggur turut memiliki jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua pada waktu hampir sama di sebuah bilik penginapan di Jalan Kuala Muda, polis menahan dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 38 peket heroin seberat 721.41 g dan 10 peket syabu 27.87 g dalam beg pinggang atas katil.

“Ketiga-tiga suspek disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 2:38pm
d