mutakhir

Berdamailah Tun M, Muhyiddin

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan mahu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berdamai dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Wan Saiful berkata, ia bukan kehendak peribadi dirinya, tetapi diimpikan sebahagian besar ahli agar dua tokoh terbabit kembali bersatu dan menguatkan kembali parti yang dibina secara bersama.

“Marilah kita (semua ahli) desak dan rayu pemimpin atasan kita untuk berdamai dan kembali bekerjasama kerana parti ini terbina atas kekuatan tiga tokoh utama iaitu Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz (Mahathir).

“Saya berharap semuanya berhentilah mengeluarkan kenyataan atau menganjurkan majlis yang tidak membawa perdamaian dan tidak perlulah pergi (bertemu) ke media tempatan atau antarabangsa untuk meruntuhkan parti.

“Sebaiknya ketika ini ahli parti dapat menganjurkan majlis solat hajat dan munajat. Mendoakan penyatuan kembali pemimpin kita adalah lebih baik,” katanya menerusi kenyataan di Kangar, hari ini.

Wan Saiful berkata, beliau berharap kemelut antara Dr Mahathir bersama Muhyiddin dapat diselesaikan segera melalui pertemuan dua pemimpin Bersatu itu.

“Dalam pertemuan (bersama Muhyiddin) Jumaat lalu, Muhyiddin cuba mengatur pertemuan dengan Tun Mahathir dengan menghantar surat kepadanya memohon untuk bertemu.

“Muhyiddin hanya menunggu tarikh daripada Tun Mahathir sahaja dan kita doakan agar Tun Mahathir sudi bertemu dengannya secepat mungkin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 5:11pm
    d