mutakhir

'Tak dengar bunyi pelik tapi rumah gelap' - Jiran

Oleh Nor Farhani Che Ad

“SAYA tidak mendengar sebarang bunyi pelik sepanjang malam tadi, tetapi sewaktu saya pulang ke rumah kira-kira 11 malam, saya dapati rumahnya dalam keadaan gelap,".

Itu kata jiran kepada pengasuh kanak-kanak, Haziah Yeap Osman, 58, yang ditemui mati dipercayai dibunuh di Taman Sutera Idaman, Sungai Petani, hari ini.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Mohd, 34, berkata, dia tidak menyedari sesuatu yang ganjil di rumah wanita berkenaan ketika keluar dari rumah bersama keluarganya, 4 petang semalam.

Katanya, dia sememangnya sudah lama tidak melihat wanita terbabit berada di kawasan luar rumahnya namun difahamkan mangsa ada ke surau berdekatan untuk menghadiri majlis bacaan Yasin, Jumaat lalu.

“Ada jiran kata, kali terakhir mereka bertemu arwah pada majlis bacaan Yasin di surau berhampiran rumah kami.

"Saya memang tak nampak arwah sejak kebelakangan ini sehinggalah tahu dia ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mohd berkata, dia mengetahui kejadian itu 9 pagi tadi selepas mendengar bunyi bising di hadapan rumah mangsa.

"Bila saya keluar saya nampak terdapat beberapa anggota polis dan jiran sudah berada di depan rumahnya," katanya.

Mohd berkata, dia pernah beberapa kali menasihatkan mangsa supaya sentiasa mengunci pintu rumahnya berikutan bimbang akan keselamatannya yang tinggal seorang diri.

Dalam kejadian 7.30 pagi tadi, wanita terbabit ditemui mati dalam keadaan tertiarap di lantai bersebelahan katil di bilik tidur utama dengan keadaan tangan terikat dari belakang menggunakan wayar pengecas telefon dan mulut ditutup dengan kain.

Berita berkaitan

Pengasuh ditemui dibunuh, tangan terikat

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 5:54pm
d