mutakhir

Elak tanah mendap jadi serius

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN penstabilan tanah akan dilakukan secepat mungkin di tapak projek pembinaan rumah pam terletak berhampiran sebuah rumah di Lorong Kiri 15, Kampung Datuk Keramat, di sini, yang mengalami keretakan berikutan tanah mendap, semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, langkah itu diambil bagi memastikan masalah tanah mendap dan keretakan yang dialami ketika ini tidak menjadi semakin serius.

“Projek pembinaan saliran di lokasi ini bertujuan untuk mengatasi masalah banjir yang sering dialami oleh penduduk setempat.

“Bagaimanapun saya difahamkan ketika projek ini berjalan, berlaku pergerakan tanah yang menyebabkan rumah berkenaan retak akibat mendapan tanah.

“Justeru, satu tindakan penstabilan tanah akan dilakukan termasuk meletakkan alat pemantauan pergerakan tanah di tapak projek yang dijangka mengambil masa antara dua hingga empat minggu untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di lokasi tapak projek berkenaan, hari ini.

Nor Hisyam berkata, sepanjang tempoh tindakan penstabilan tanah itu dilakukan, penghuni rumah berkenaan diminta tinggal di lokasi sementara sehingga ia selesai.

“Semua penghuni diminta mengosongkan rumah berkenaan kerana tiada jaminan rumah itu selamat diduduki ketika ini dan mereka kini ditempatkan di Dewan Aktiviti Kemasyarakatan Masjid Al-Ikram buat sementara waktu.

“Pada masa sama, kami bersama-sama agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menghulurkan bantuan diperlukan kepada penghuni,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menyalahkan pihak yang mengakibatkan permasalahan itu berlaku kerana pada asalnya pembinaan projek di lokasi terbabit adalah untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan berkenaan.

“Kami kerap menerima aduan daripada penduduk setempat berhubung masalah banjir kilat di kawasan ini. Berikutan itu, kami meluluskan pembinaan projek berkenaan dengan jumlah kos sebanyak RM1.4 juta.

“Buat masa ini, apa yang penting adalah mencari penyelesaian masalah dan pada masa sama, kami akan menjelaskan kepada pemilik rumah supaya membuat permohonan semula untuk sijil layak menduduki,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan 39 penghuni rumah berkenaan diarahkan keluar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selepas berlaku mendapan tanah mengakibatkan keretakan pada rumah berkenaan, semalam.

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 5:56pm
d