mutakhir

Ibu tiada musuh

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“BIARLAH polis siasat kejadian ini sebab kami tak tahu apa yang berlaku pada ibu,” kata Noor Asyrul Ahmad, 35.

Noor Asyrul adalah anak bongsu Haziah Yeap Osman, 58, yang disyaki dibunuh selepas mayatnya ditemui tertiarap di atas lantai bersebelahan katil di bilik tidur utama di rumah berkenaan dengan keadaan tangan terikat di rumahnya di Taman Sutera Idaman, Sungai Petani hari ini.

Menurut Noor Asyrul, kali terakhir dia menghubungi ibunya jam 1 petang semalam kerana arwah mahu berbual dengan dua cucunya.

“Saya sempat bersembang dengan ibu dan dia kelihatan biasa saja cuma gembira dapat berbual dengan anak-anak saya.

“Dia tinggal seorang diri di rumah itu sejak dua tahun lalu dan sudah berpisah dengan ayah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa ibunya pada 11 pagi tadi kerana ketika itu dia berada di rumah ibu mentuanya di Perak dan kawasan itu tiada liputan talian telefon.

Katanya, dia menerima banyak kiriman WhatsApp dan pesanan ringkas daripada kakak dan adik beradik lain mengatakan ibunya sudah meninggal dunia selepas keluar ke kawasan yang ada liputan.

“Memang sedih dan terkejut apabila kejadian ini berlaku pada ibu tetapi kami sekeluarga reda. Saya menetap di Ipoh, Perak dan bergilir-gilir pergi ke rumah ayah dan ibu. Ibu tak pernah cerita dia ada musuh atau ada orang tak puas hati dengannya,” katanya.

Noor Asyrul berkata, ibunya hanya menghidap penyakit buah pinggang dan kencing manis.

Katanya, mereka hanya kerap berhubung melalui telefon dan pulang melawat ibu ketika cuti.

Dalam kejadian itu, mayat Haziah ditemui selepas bapa kepada anak asuhannya mencurigai sesuatu selepas panggilannya tidak disahut 7.30 pagi tadi.

Berita berkaitan

Pengasuh ditemui dibunuh, tangan terikat

'Tak dengar bunyi pelik tapi rumah gelap' - Jiran

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 7:07pm
d