mutakhir

Siapa Ketua Menteri Melaka ke-12?

Oleh Amir Mamat

TEKA-TEKI bakal Ketua Menteri Melaka baharu akan terjawab apabila seorang daripada 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah jawatan itu, 3 petang esok.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob bersetuju supaya Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka ke-12 dibuat di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh, Melaka.

Sehingga kini, nama yang diserahkan kepada Mohd Khalil sudah diteliti dan dianalisis bagi memastikan kepemimpinan negeri untuk penggal ini mampu menggalas tugas yang diamanahkan.

Sumber memberitahu NSTP, Mohd Khalil terpaksa mengambil masa untuk menentukan pengganti Adly Zahari sebagai Ketua Menteri itu supaya tidak timbul isu seperti sebelum ini.

“Sebab itu istiadat angkat sumpah ditangguhkan kerana Tun (Mohd Khalil) mahu meneliti setiap calon yang dikemukakan.

“Tun seorang yang teliti dan dia mahu seorang ketua menteri yang bertanggungjawab, jujur, amanah dan berintegriti memimpin negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, dua nama diangkat sebagai calon utama jawatan ketua menteri iaitu seorang daripadanya adalah wakil dari PN, manakala seorang lagi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Difahamkan, PN menamakan 13 nama untuk untuk dipertimbangkan Mohd Khalil, manakala Bersatu pula dikatakan mencalonkan ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Bagaimanapun, selepas PN membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan Mohd Rafiq dan seorang lagi ADUN Bersatu Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas), PN tampil mempersembahkan beberapa lagi nama kepada Mohd Khalil.

Sehingga kini, sumber itu memaklumkan, semua nama berkenaan sedang dalam pertimbangan Mohd Khalil untuk dilantik sebagai Ketua Menteri ke-12.

Antara nama berkenaan termasuk ADUN Lendu yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Sulaiman Md Ali.

Sulaiman, 55, anak kelahiran Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, pernah dilantik sebagai Timbalan Exco Perindustrian dan Perdagangan negeri pada 2014-2018.

Selain mempunyai kelulusan Profesional Sarjana Pengurusan, Pesuruhjaya Jaminan Kualiti (QAC ) dari United Kingdom, beliau turut berkelulusan daripada Akademi Laut Malaysia (ALAM) serta berpengalaman dalam bidang industri minyak dan gas selama 25 tahun membabitkan syarikat Petronas Carigali, ExxonMobil dan Industri Pembangunan Minyak dan Gas.

Turut dinamakan, bekas Ketua Menteri Melaka yang juga ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron serta ADUN Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman.

Sementara itu, penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan berkata, semua pihak khususnya PN perlu membuat ketetapan dan pendirian politik yang mendahulukan kepentingan serta masa depan rakyat Melaka.

Katanya, isu pelantikan Ketua Menteri perlu diselesaikan secara muafakat politik antara semua ahli dan parti politik demi menjamin masa depan rakyat.

“Hentikan segera ‘permainan politik’ yang semakin hari dilihat menjadi petunjuk negatif ke arah pembangunan negeri Melaka.

“Sama ada PN ataupun PH, pelantikan Ketua Menteri berdasarkan kepada majoriti yang perlu mendapat persetujuan daripada Yang di-Pertua Negeri.

“PN perlu menunjukkan kematangan berpolitik di peringkat negeri sekiranya di peringkat Pusat sudah ada satu pegangan politik yang kuat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 8:34pm
    d