mutakhir

Ajal kenderaan masuk sungai

Oleh Erika George

LELAKI ditemui maut terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam Sungai Miri di kawasan Jalan Kampung Pulau Melayu, Miri, 8 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan orang awam pada 8.30 malam.

“Sejurus sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sememangnya terdapat kenderaan terjunam ke dalam sungai berkenaan yang terletak kira-kira enam meter dari tebing sungai,” katanya.

Menurutnya, pasukan BBP Lopeng meminta bantuan Pasukan Penyelaman Di Air (PPDA) bagi menjalankan kerja menyelam ke dasar sungai serta mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Pasukan bomba mengambil masa lima minit bagi mengeluarkan mangsa dari bahagian kerusi pemandu.

“Sejurus berjaya dikeluarkan, mayat mangsa yang belum diketahui identiti itu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pasukan bomba turut mengambil masa hampir lima jam bagi menarik keluar kenderaan terbabit dari dasar air sungai menggunakan kren.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlakunya insiden ini,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri bagi tujuan pemeriksaan serta bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang tidak pulang ke rumah agar menghubungi PDRM bagi tujuan proses pengecaman identiti.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 10:47am
d