mutakhir

Pemandu treler rentung, anak parah

Oleh Rosli Ilham

PEMANDU treler rentung manakala anaknya parah dalam kemalangan membabitkan pertembungan treler dan lori di Kilometer 126, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Kampung Lubuk Lesung, Chukai, 5.15 pagi, hari ini.

Kemalangan itu turut menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar dan mengorbankan Megat Razak Megat Jusoh, 53, yang tersepit di tempat duduk.

Bagaimanapun, anaknya, Megat Haniff Iqbal Megat Razak, 22, yang parah dikeluarkan penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, treler muatan kayu yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Jerangau menghala ke Jabur.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, lori dari arah bertentangan dipercayai terbabas dan memasuki jalan kanan sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung.

“Pertembungan itu menyebabkan pemandu lori terbabit, Syahrullah Abdul Salam, 38, tercampak keluar dari kenderaannya dan parah.

“Pemandu lori dan kelindan treler terbabit dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut manakala pemandu treler dihantar ke Bilik Forensik hospital yang sama untuk siasatan lanjut,“ katanya.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Sementara itu, Ketua Zon 2, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.27 pagi.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, api marak membakar kedua-dua kenderaan terbabit.

“Seramai 25 anggota Bomba daripada Balai Bomba Dan Penyelamat Chukai dan Cheneh terbabit dalam operasi pemadaman itu.

“Ketiadaan pili bomba di kawasan sekitar tempat kejadian menyebabkan pihak kami terpaksa berulang-alik mengangkut air dari kawasan yang jauh,” katanya.

Katanya, kerja pemadaman dan mengalih sisa kebakaran selesai, 10. 30 pagi tadi.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 11:11am
d