mutakhir

PM jumpa ahli parlimen PN, GPS petang ini

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan mengadakan pertemuan bersama semua Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak di Putrajaya 3 petang ini dipercayai berkaitan dengan pengumuman barisan kabinet.

Seorang ahli parlimen memberitahu Harian Metro, mereka dipanggil untuk menghadiri perjumpaan itu membabitkan semua ahli parlimen parti yang membentuk PN.

Katanya, butiran pertemuan masih belum diketahui namun ia dipercayai untuk menerangkan pelantikan anggota kabinet.

“Kami semua diminta hadir ke Dewan Bankuet Seri Perdana. Tan Sri Muhyiddin dijangka memberikan amanat kepada semua ahli parlimen,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Perdana Menteri menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah 11 pagi hari ini untuk mempersembahkan senarai barisan Jemaah Menteri baharu kerajaan.

Dalam satu kenyataan, pejabat Perdana Menteri berkata, setelah mendapat perkenan baginda, Perdana Menteri dijangka mengumumkan senarai Jemaah Menteri pada 5 petang di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 11:44am
    d