mutakhir

Warga emas maut dirempuh bas

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

LELAKI warga emas maut selepas dirempuh sebuah bas ketika melintas di Kilometer (KM) 81.5 Jalan Ipoh-Butterworth, Taiping, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, Chin Fook Kong, 69, yang berasal dari Taman Impian Indah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata, siasatan awal mendapati bas yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun gagal berhenti ketika mangsa sedang melintas jalan.

“Bas yang dalam perjalanan dari Kamunting menghala Simpang tidak sempat membrek dan mengelak si mati yang melintas jalan secara tiba-tiba.

“Bas ditahan bagi menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Osman berkata, sebanyak 48 saman Pol 257 dikeluarkan kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dalam sekatan jalan raya sekitar bandar ini bermula petang semalam hingga awal pagi hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan saman yang dikeluarkan kerana menunggang tanpa lesen serta gagal mempamerkan cukai jalan.

“Operasi sama turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun kerana didapati memiliki heroin seberat 5.14 gram serta methamphetamine seberat 0.06 gram

“Ketika pemeriksaan dibuat, suspek yang menunggang motosikal Honda C70 cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Suspek yang juga seorang peniaga disiasat mengikut Seksyen 39A (2), Seksyen 12(2), dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, tetapi tidak melakukan kesalahan jalan raya, ” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 2:40pm
d