mutakhir

Dua maut kereta bertembung lori minyak

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

DUA lelaki maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori minyak dalam nahas dekat Kampung Apal, Jertih, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa maut adalah Muhamad Aliff Asraf Adnan, 24, beralamat di Endau, Johor yang memandu kereta Proton Perdana dan penumpangnya, Thor Tick Young, 50, beralamat di Rompin, Pahang dan kedua-duanya meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kemalangan membabitkan Proton Perdana dengan lori minyak.

“Siasatan awal mendapati kereta dari arah Kuala Terengganu menghala ke Jertih hilang kawalan lalu masuk ke laluan lori sebelum bertembung.

“Pemandu dan penumpang kereta meninggal di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

“Pemandu lori berumur 26 tahun tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, 10 anggota dan pegawai ke lokasi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan operasi selesai pada 9 pagi.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 3:19pm
d