mutakhir

Pangsapuri jadi pusat judi dalam talian

Oleh Norsyazwani Nasri

SERAMAI 11 individu ditahan selepas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak menyerbu dua pangsapuri yang dijadikan pusat judi dalam talian di Jalan Burung Lilin, Kuching, hari ini.

Dalam serbuan jam 9 pagi itu, lima lelaki tempatan dan enam warga Indonesia yang ditahan berusia antara 19 hingga 38 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, serbuan dibuat hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.

“Operasi judi dalam talian di dua pangsapuri ini sudah berjalan sejak setahun lalu.

“Sindiket judi dalam talian ini meraih keuntungan sebanyak RM50,000 sehari hasil operasi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, 15 komputer yang digunakan untuk menjalan kegiatan perjudian dalam talian turut disita.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Sarawak untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 4:05pm
d