mutakhir

Tumpas selepas 3 bulan aktif menyamun [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SATU kumpulan penjenayah terdiri lima lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai aktif dalam kegiatan samun di daerah ini sejak tiga bulan lalu ditumpaskan Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di kediaman sekitar kawasan Puteri Harbour dan Taman Perling di sini.

Katanya, polis menerima laporan dari seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun yang bekerja sebagai tukang paip disamun ketika berada di sebuah bilik kediaman dengan anggaran kerugian bernilai RM3,000 dalam kejadian di Puteri Harbour, di sini, kira-kira jam 1.35 petang.

“Bertindak atas maklumat itu, kira-kira jam 11 malam sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan kesemua suspek dan pemeriksaan di kediaman suspek turut menjumpai pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah samun.

“Antara yang dirampas ialah dua topeng muka, sebilah parang, alat penimbang, sembilan telefon bimbit, kereta Proton Wira, dadah disyaki syabu seberat kira-kira 26.3 gram dan dadah disyaki ganja seberat 19.38 gram,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah methamphetamine dan lima daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.

Suspek direman lima hari mulai 6 Mac hingga 10 Mac.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 4:09pm
d