mutakhir

Sorok telur seludup bawah kanvas

Oleh Syaherah Mustafa

TAKTIK penyeludup warga Thailand menutup 900 biji telur menggunakan kanvas dikesan anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Tanah Merah, petang Sabtu lalu.

Pengarah MAQIS Negeri Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, dalam operasi 2.30 petang itu, anggotanya menahan seorang lelaki berusia 50-an yang memandu pacuan empat roda Isuzu Dmax dengan nombor pendaftaran Thailand sebelum menemui semua telur berkenaan.

Beliau berkata, telur itu dirampas kerana tiada dokumen permit eksport sah dengan anggaran nilai RM540 dan dipercayai dibawa keluar dari dalam negara ke Thailand untuk pasaran di sana.

“Semua telur dirampas kerana melanggar syarat eksport barang pertanian, haiwan, ikan dan hasilan keluar dari Malaysia yang memerlukan permit eksport daripada pihak MAQIS.

“Golongan ini menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi mata kami termasuk bertukar modus operandi lain, namun hasil kecekapan anggota MAQIS, ia tetap dapat dikesan dan dirampas.

“Selain itu, hasil siasatan mendapati pengeksport mendapat lebih keuntungan jika memborong telur dari dalam negara yang murah dan akan menjualnya di Thailand pada harga lebih tinggi berikutan mata wang Ringgit Malaysia yang lebih rendah,” katanya.

Mohd Azam berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) dalam akta sama.

Beliau berkata, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 4:37pm
d