mutakhir

Harap 'projek' Kampung Baru diteruskan

Oleh Norzamira Che Noh

BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berharap barisan Kabinet baharu yang dilantik akan meneruskan Pelan Pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur dan tidak membatalkannya.

Beliau berkata, ia susulan perjumpaan dijalankan pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) mendapati lebih 60 peratus daripada 5,374 pemilik tanah di kampung berkenaan bersetuju untuk menjual tanah mereka bagi menjayakan pelan pembangunan berkenaan.

“Jumlah (lebih) 60 peratus yang bersetuju ini membabitkan keluasan tanah seluas kira-kira 32.3 hektar (80 ekar) daripada jumlah keluasan Kampung Baru seluas 60.7 hektar (150 ekar). Jumlah ini kita dapat setakat perjumpaan terakhir dijalankan pihak PKB pada pertengahan Februari lalu,” katanya di Shah Alam tadi.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan harga tawaran baharu pembelian tanah Kampung Baru bernilai RM1,000 setiap satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Bersandarkan harga baharu itu, RM850 secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Khalid berkata, beliau turut berharap Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu akan menyelesaikan status Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang menurutnya mengutip yuran dan bayaran daripada penduduk Kampung Baru walaupun tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“MAS ini ibarat sebuah dewan bandaraya dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kita harap menteri baharu nanti dapat menyelesaikannya,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 4:47pm
d