mutakhir

Johor perkenal pakej stimulus ekonomi

Oleh Omar Ahmad

KERAJAAN negeri akan memperkenalkan pakej stimulus ekonomi bagi membantu sektor yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pakej itu akan diperkenalkan dalam masa terdekat sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan.

Katanya, bukan sahaja sektor pelancongan yang terjejas akibat Covid-19, ia turut memberi kesan kepada sektor perhotelan dan juga perniagaan.

“Kita sedia maklum bukan sahaja sektor pelancongan terjejas, tetapi sektor perhotelan dan juga perniagaan juga amat serius terjejas.

“Saya sudah meminta kerajaan negeri melihat semula 50 peratus daripada cukai pelancongan terhadap hotel dan agensi pelancongan dikaji bagaimana ia dapat digunakan untuk membantu industri berkenaan.

“Kita juga akan fikir balik dasar untuk tidak mengadakan majlis kerajaan di hotel bagi membantu sektor perhotelan di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga bekas Menteri Besar ke-15 di Pejabat Menteri Besar Johor di sini, hari ini.

Berhubung pelantikan politik ketua kampung dan ahli majlis dari Kerajaan dahulu, Hasni berkata pihaknya menghormati tempoh lantikan mereka dan tidak mahu tergesa-gesa serta rakus dalam isu pelantikan itu.

“Itu kita tidak mahu buat secara tergesa-gesa, kalau boleh kita buat secara berperingkat,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 5:12pm
d