mutakhir

Bukan kes samun, tapi gaduh

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dua lelaki parah dipercayai diserang objek tajam di hadapan pusat hiburan berhampiran sebuah bank di Seri Manjung, Manjung, semalam.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan kejadian samun seperti yang tular di laman sosial sejak pagi hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata, ia berpunca akibat pergaduhan antara mangsa dengan empat lelaki.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai pergaduhan itu pada 12 tengah malam membabitkan enam lelaki.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian bermula apabila seorang lelaki menghalang lalu lintas di kawasan berkenaan menyebabkan mangsa berang sehingga berlaku pertengkaran.

“Berlaku pertengkaran antara suspek dan tiga lagi individu lain dengan dua mangsa yang berusia 35 dan 46 tahun itu sehingga menyebabkan cermin kereta seorang daripada suspek dipecahkan.

“Kejadian itu menyebabkan seorang mangsa mengalami pendarahan di tangan dan seorang lagi cedera di leher dipercayai diserang dengan menggunakan objek tajam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, susulan itu, polis menahan empat suspek berusia antara 25 hingga 40-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Seri Manjung dan kesemua suspek direman selama lima hari hingga Khamis ini untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 6:06pm
d