mutakhir

Rampas meranti, kelat bernilai RM20ribu

Oleh Zaid Salim

CUBAAN tiga lelaki membawa keluar hasil hutan bernilai RM20,000 gagal selepas dipatahkan sekumpulan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan, 10 malam tadi.

Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Muhamad Abdullah berkata kejadian berlaku di kawasan Kompartmen (Kpt) 6 Hutan Simpan Gunung Tebu berhampiran Sekolah Kebangsaan Bintang, Setiu.

Beliau berkata, sebelum kejadian, anggota dari Pejabat Hutan Daerah Terengganu Utara dan Unit Operasi Hutan, Jabatan Perhutanan Negeri yang menjalankan operasi mencegah pembalakan haram terserempak tiga lelaki sedang memunggah kayu di kawasan kompartmen berkenaan.

“Menyedari kehadiran anggota di kawasan itu, tiga lelaki berusia 30-an itu melarikan diri dan meninggalkan motosikal serta kayu pelbagai spesies yang sudah siap diikat.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 120 tual kayu bulat pelbagai spesies antaranya meranti dan kelat dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya.

Beliau berkata, kawasan kompartmen berkenaan adalah kawasan panas (hot spot) dan menjadi sasaran pembalakan haram yang dipercayai dilakukan penduduk tempatan.

Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit dipercayai sudah beberapa kali memasuki kawasan berkenaan sebelum ini.

“Kami akan meningkatkan operasi di kawasan berkenaan bagi memburu tiga suspek terbabit selain berusaha mencegah aktiviti pembalakan haram di kawasan ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 47 dan 81 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran dan menceroboh Hutan Simpanan Kekal,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 6:55pm
d