mutakhir

Sulaiman janji teliti catuan air di Melaka [METROTV]

Oleh Hassan Omar

KETUA Menteri Melaka yang baharu, Datuk Sulaiman Md Ali berjanji untuk mengambil tindakan isu catuan air di seluruh Melaka yang sudah berlanjutan lebih sebulan.

Bagaimanapun, beliau perlu mendapatkan penjelasan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan pihak pengurusan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mengenai situasi semasa sebelum mengambil tindakan.

“Saya perlu mendapatkan penerangan untuk mendapatkan gambaran jelas keadaan semasa dalam hal catuan air kerana isu ini sangat penting, ia perlu ditangani dengan baik dan cekap.

“Berilah sedikit ruang kepada saya untuk melihat perkara ini dengan teliti kerana isu catuan air membabitkan kepentingan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus selepas mengangkat sumpah Ketua Menteri yang baharu di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri di Melaka, hari ini.

Sulaiman memberi reaksi itu ketika ditanya apakah tindakan pertamanya apabila mengambil alih kepemimpinan kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Isu catuan air dikatakan semakin membebankan pengguna berikutan catuan selang sehari sejak 29 Januari lalu menyukarkan pengguna menjalani kehidupan.

Catuan air dimulakan pada 29 Januari lalu dengan kaedah catuan secara selang sehari mulai 10 pagi hingga 10 pagi keesokannya.

Mulai hari ini catuan memasuki fasa keempat hingga 22 Mac depan membabitkan pengguna domestik, perkilangan dan pusat pelancongan tetapi ia tidak membabitkan hospital awam dan swasta.

Kebanyakan warganet mula mempertikaikan catuan itu yang didakwa mereka sudah berlanjutan terlalu lama dan mereka mendesak kerajaan negeri mengambil langkah segera mengatasinya walaupun menyedari paras air di Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan masih belum menunjukkan peningkatan berikutan ketiadaan hujan sejak awal Januari lalu.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 6:59pm
d