mutakhir

Alexander, Wan Junaidi ikrar balas kepercayaan PM

Oleh Mohd Roji Kawi

DATUK Alexander Nanta Linggi menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna adalah tanggungjawab berat yang perlu dilaksanakan dengan amanah.

Beliau yang meneruskan legasi datuknya, mendiang Tun Jugah Bareng memegang jawatan dalam Kabinet Persekutuan berkata, sebagai kementerian yang dekat dengan rakyat, beliau berusaha untuk menangani setiap permasalahan khususnya berkaitan kos sara hidup.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, beliau berkata ia satu cabaran baru baginya.

“Saya tidak menyangka akan dilantik mengetuai kementerian yang amat penting untuk rakyat ini, namun saya bersedia menggalasnya.

“Saya mengharapkan bantuan semua pihak khususnya semua peringkat di kementerian untuk memastikan kelancaran pengurusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alexander, 61, sebelum ini pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam era Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, 74, pula berkata beliau tidak menyangka akan diberi kepercayaan menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kerana tidak memiliki pengalaman kerja dalam bidang keusahawanan.

Bagaimanapun katanya, pemilihan beliau itu mungkin berdasarkan kelayakan akademiknya yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan.

“Saya memulakan kerjaya sebagai pegawai polis, kemudian menjadi peguam sebelum menceburi politik. Melihat kepada latar belakang kerjaya memang saya tidak pernah berada dalam bidang itu.

“Ini satu cabaran dan saya akan memanfaatkan sebaiknya apa yang saya pelajari di peringkat PhD untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada zaman BN itu berkata, perkara pertama terlintas dalam fikiran selepas namanya diumumkan untuk jawatan itu ialah mengukuhkan sektor koperasi di negara ini.

“Kita lihat di Korea Selatan, sektor koperasi itulah penggerak utama bidang keusahawan dan itulah yang saya rancang untuk perkukuhkan,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Senarai Kabinet 2020
  • Sejarah buat PAS
  • Ahmad Amzad selesa bekerja dengan KJ
  • Ahmad Amzad selesa bekerja dengan KJ
  • MB Kelantan ucap tahniah kepada Kabinet
  • Enam menteri dari Sabah
  • Tok Pa jaga ekonomi
  • Kombinasi pengalaman pelbagai bidang, kepakaran
  • MCA kembali dalam barisan Kabinet
  • Dr Zulkifli mufti pertama jadi menteri
  • 4 Menteri Kanan ganti TPM
  • Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 7:05pm
    d