mutakhir

Ajal terlanggar musang melintas jalan

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SEORANG anggota Polis Bantuan maut selepas motosikal ditungganginya merempuh musang melintas jalan sebelum dirempuh kenderaan lain di Kilometer 10 Jalan Gemas-Pasir Besar, Tampin, malam tadi.

Dalam kejadian 11.20 malam itu, Muhammad Basirol Iman Zunata, 27, dari Taman Sungai Gemas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 menuju ke tempat kerjanya di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Bahau.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa melanggar musang yang melintas jalan sebelum terbabas.

“Mangsa yang jatuh di atas jalan dipercayai dilanggar kenderaan lain di laluan itu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dalam kemalangan berasingan, seorang anggota polis bersama isterinya maut dalam kemalangan raya di Kilometer 8, Jalan Gemencheh-Felda Bukit Rokan dekat Tampin, hari ini.

Arnin Diar Abdullah, 35, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD ) Jempol dan isteri, Nurul Fatihah Hashim, 22, maut selepas motosikal Yamaha LC135 dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di lokasi kejadian.

Anuwal berkata, kemalangan 6.30 petang semalam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Felda Bukit Rokan menuju Gemencheh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan lanjut kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 8:46pm
d