mutakhir

Pertimbang lantik semula Exco PH - KM Melaka

Oleh Amir Mamat

KEDUDUKAN empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang memberi sokongan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) negeri akan ditentukan selepas bertemu dengan ketua parti masing-masing dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, ini kerana semua Exco terbabit yang sebelum ini dilantik dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah menyokong gabungan PN.

Empat wakil rakyat itu ialah dua dari Bersatu iaitu bekas Exco Perindustrian, Pelaburan dan Perdagangan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan bekas Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Sementara Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dari PKR dan bekas Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Datuk Norhizam Hassan Baktee dari DAP.

“Keputusan hanya akan dibuat selepas pertemuan bersama ketua parti masing-masing, sebelum senarai Exco baharu kerajaan PN negeri dipersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dalam masa terdekat.

“Apabila sudah mendapat keputusan daripada Tun Mohd Khalil, saya akan mengumumkan barisan Exco Kerajaan Negeri yang baharu.

“Buat masa ini, beri saya sedikit masa, saya mesti melakarkan dalam kalangan mereka mempunyai latar belakang (yang baik) serta boleh memberi kerjasama dengan saya serta semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Kesyukuran di Kampung Pulau, Masjid Tanah malam ini.

Sulaiman yang juga Adun Lendu berkata, beliau terbuka untuk mengekalkan kedudukan semua empat wakil rakyat itu dalam pentadbiran kerajaan PN Melaka, namun ia perlu mendapat persetujuan Mohd Khalil terlebih dulu.

Mengikut Perlembagaan Negeri, Ketua Menteri mempunyai tempoh tujuh hari bagi melantik barisan Exco dan perlu mendapat persetujuan Tuan Yang Terutama Negeri.

Siang tadi, Sulaiman, 55, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteridi hadapan Mohd Khalil di Dewan Seri Utama, Seri Negeri Ayer Keroh.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 11:33pm
d