mutakhir

Mengaku lepas lima jam

Oleh Noorazura Abdul Rahman

LELAKI warga emas ditahan selepas didapati membawa lori dengan muatan kayu yang diambil secara haram dari Kampung Kemangi, Baling, semalam.

Individu berusia 69 tahun itu ditahan oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, di Jalan Kupang-Gerik di Kampung Tiak, Baling, 1.40 tengah hari.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, sebelum itu, pihaknya mengesan sebuah lori yang dicurigai dengan muatan tertutup.

Beliau berkata, pihaknya mengekori lori itu kira-kira tiga kilometer sebelum

lelaki terbabit bertindak meninggalkan lori di bahu jalan.

“Pemeriksaan ke atas lori berkenaan mendapati terdapat kayu Medang Teja yang diangkut tanpa lesen sah selain tidak membayar cukai kepada kerajaan negeri.

“Selepas hampir lima jam, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang mengakui bahawa lori berkenaan miliknya dan memberi alasan terpaksa pakir di bahu jalan akibat rosak.

“Dia kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kupang untuk tindakan lanjut. Lorinya turut disita,” katanya dalam satu kenyataan.

Roslan berkata, siasatan awal mendapati kayu balak itu dipercayai untuk dijual di sebuah kilang kayu di Kampung Sungai Limau, Baling.

“Hasil kayu yang diangkut dengan nilai cukai dianggarkan RM500, namun lelaki ini berdepan dengan nilai kompaun sehingga RM10,000 mengikut Seksyen 68 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993),” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 9:17am
d