mutakhir

Dugaan awal pagi

Oleh Nor Farhani Che Ad

DUA rumah, sebuah kereta dan empat motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Singkir Paya, Singkir, Sungai Petani, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.59 pagi.

Katanya, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dan BBP Sungai Petani dikejarkan ke lokasi dengan bantuan 10 anggota Pasukan Sukarela Bomba (PBS).

“Anggaran kemusnahan bagi kedua-dua rumah kelas B dua tingkat itu adalah sebanyak 95 peratus, termasuk semua kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ehsan berkata, tindakan memadam dan mengawal kebakaran dilakukan sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 6.45 pagi.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 11:46am
d