mutakhir

Ku sangka ikan, rupanya anak buaya

Oleh Erika George

LAIN dipukat, lain pula yang dapat. Itu yang berlaku kepada nelayan yang memukat di Sungai Katibas, Kapit, apabila menaikkan anak buaya sepanjang 1.8 meter.

Kejadian berlaku 6.30 petang ketika nelayan berusia 50 tahun itu sedang menarik pukatnya apabila dia menyedari sesuatu menggelupur.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song, Nasihin Jaum berkata, nelayan itu terkejut dengan tangkapannya dan segera menghubungi pihaknya untuk bantuan.

“Panggilan diterima pada 6.50 petang dan empat anggota dari BBP Song dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, didapati seekor anak buaya terperangkap di dalam pukat dan anggota menggunakan tali untuk menjerut mulut buaya itu sebelum menaikkannya,” katanya.

Nasihin berkata, anggota mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membebaskan reptilia itu daripada pukat berkenaan, sebelum ia diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 12:34pm
d