mutakhir

Bertani untuk elak menganggur [METROTV]

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

PELUANG pekerjaan yang terhad bukan alasan untuk menganggur, sebaliknya dua pemuda nekad memanfaatkan peluang lain demi memastikan mereka berkerjaya.

Syukram Mohd @ Idris, 35, dan Nasrul Hadi Mohd, 37, sepakat menjadi petani dan menanam timun secara fertigasi di Kampung Pulau Musang, Kuala Terengganu sejak Disember 2018.

Kesungguhan mereka berhasil apabila dapat jana pendapatan lebih RM16,000 bagi semusim tuaian dengan hasil antara lima hingga tujuh tan timun..

Nasrul Hadi berkata, mereka memulakan projek itu dengan pelaburan RM20,000 dan modal itu diperoleh kembali pada tuaian musim kedua.

“Keuntungan dijana berganda kerana harga semasa timun ketika itu.

“Kami bukan daripada keluarga petani dan tiada ilmu pertanian, namun belajar sendiri atas keinginan tinggi untuk berjaya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, pada peringkat awal mereka menyasarkan hasil sebanyak lima tan semusim sebelum sasaran ditambah ke lapan tan kerana tanaman menjadi selain permintaan tinggi.

Katanya, kejayaan mereka turut diuji apabila hasil merosot pada musim tanaman ketiga dan keempat disebabkan pokok diserang penyakit.

“Tapi kami tak patah semangat dan usaha menambah baik teknik penjagaan pokok dan dalami lagi ilmu penanaman untuk baiki apa yang silap. Alhamdulillah hasil kembali lebat pada musim kelima dengan buah yang lebih kualiti,” katanya yang berkemahiran bidang pendawaian elektrik.

Sementara itu, Syukram berkata, golongan muda tidak perlu malu untuk menceburi bidang pertanian kerana ia peluang baik untuk menjana pendapatan.

Katanya, pertanian secara fertigasi pula lebih mudah dan tidak cerewet kerana boleh dijalankan sepenuh masa atau secara sambilan.

“Pada peringkat permulaan keuntungan tidak terlalu besar tetapi jika diusahakan secara berterusan dan konsisten, akan beri hasil lumayan.

“Kami sendiri masih berusaha dan mahu membesarkan lagi saiz kebun. Buat masa ini, tanah ini hanya disewa pada kadar RM300 setahun. Kami sedang kenal pasti tanah terbiar di kawasan lain pula untuk disewa,” katanya.

Dia juga berharap kerajaan membantu petani muda seperti mereka untuk lebih berjaya dalam bidang pertanian.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 1:34pm
d