mutakhir

Wang RM3 juta belum ditemui

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

WANG tunai RM3 juta yang dikaitkan dengan kes kejadian peras ugut dan rasuah membabitkan anggota dan pegawai polis pada 18 Februari lalu masih belum ditemui.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung wang berkenaan.

“Siasatan berhubung kejadian masih berjalan. Wang berkenaan masih belum ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lima pegawai dan anggota polis terdiri daripada inspektor dan koperal bertugas di JSJ Selangor ditahan pada 18 dan 19 Februari lalu.

Lima suspek berkenaan dikatakan ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ekoran laporan polis dibuat seorang ahli perniagaan Taiwan berusia 49 tahun berhubung kejadian peras ugut dan rasuah selepas dia ditahan dalam serbuan pembongkaran makmal memproses dadah.

Pada 17 Februari lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan pihaknya menahan dua individu warga Taiwan, seorang warga China dan seorang warga tempatan berusia antara 30 hingga 49 tahun ekoran pembongkaran makmal memproses dadah itu.

Dalam serbuan berkenaan, polis merampas 1,426 pil ekstasi dan 27,546 gram ketamin selain menyita kenderaan serta wang tunai dianggarkan bernilai RM2.23 juta.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 1:34pm
d