mutakhir

Jatuh longkang nak selamat anjing

Oleh Mohd Khidir Zakaria

NIAT murni seorang lelaki mahu menyelamatkan seekor anak anjing terperangkap dalam longkang besar bertukar mimpi ngeri selepas penutup longkang pecah dan terbelah dua menyebabkan dia terjerumus sedalam tiga meter, Ahad lalu.

Mangsa yang juga Pegawai Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Amran Mat Dali, 40, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan melihat anaknya memancing berhampiran Balai Nelayan Teluk Kemang, Port Dickson, pada 10 pagi.

“Saya bersama rakan melalui tepi pantai dan tepi longkang ditutup dengan simen sebelum terdengar suara anak anjing terperangkap di dalam longkang bertutup.

“Sebaik saya memijak penutup longkang itu, tiba-tiba ia pecah dan terbelah dua menyebabkan saya terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir tiga meter yang menyebabkan lutut saya parah.

“Ketika itu cuma rakan saya dan seorang nelayan berada berdekatan, mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang serta polis yang datang membantu sebelum membawa saya ke Hospital Port Dickson (HPD) dengan menaiki ambulans,” katanya.

Katanya, dia bersama keluarganya bercuti dan menginap di Apartmen Sri Suasana, Rumah Rehat milik DBKL di Batu 8, Jalan Pantai, sejak Jumaat minggu lalu.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati tempurung lutut kiri saya hancur dan saya meminta dipindahkan ke Hospital Tawakal Kuala Lumpur (HTKL) dan jalani pembedahan pada hari sama.

“Sebelum di bawa ke HTKL, saya sempat membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Kemang untuk tindakan lanjut.

“Tak sangka pula saya ditimpa musibah pada hari terakhir kami bercuti di Port Dickson yang sepatutnya kami pulang ke Kuala Lumpur pada hari kejadian,” katanya bapa kepada tiga anak itu.

Amran berkata, dia membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengenai kejadian itu, tetapi pihak MPPD menafikan projek longkang itu di bawah selenggaraan mereka.

Katanya, dia turut menghubungi pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengesahkan jika longkang itu adalah projek mereka kerana penutup longkang besar itu amat nipis dan membahayakan orang ramai, namun pihak JPS mengatakan akan menyiasat perkara itu.

“Tidak mustahil akan ada lagi mangsa jika projek seperti ini diambil ringan dan membahayakan nyawa dan keselamatan orang awam.

“Saya bercadang mengambil tindakan tindakan undang-undang kerana mahu pihak berwajib lebih bertanggungjawab dan integriti dalam melaksanakan sesuatu projek,” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 3:55pm
d