mutakhir

Misteri solat berseluar pendek...?

Oleh Nor Farhani Che Ad

“SELEPAS disergah, lelaki itu berpura-pura solat sedangkan dia hanya berseluar pendek dan dilihat merokok sewaktu masuk ke dalam surau,” kata Azhar Adnan, 48.

Tindakan pantas Azhar berjaya menyelamatkan beg penghantar makanan, Mohamad Yuhanizal Yahaya, 29, daripada dicuri di surau Abu Bakar As-Siddiq, Taman Petani Jaya di Sungai Petani, semalam.

Difahamkan, beg berkenaan mengandungi wang tunai RM200 iaitu wang dibayar pelanggan, barangan dan dokumen pengenalan milik penghantar makanan berkenaan.

Dalam kejadian 2.35 petang, Azhar yang juga ahli jawatankuasa keselamatan surau menyedari kejadian ketika dia sedang membuat pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) surau terbabit.

Katanya, ketika itu dia ternampak seorang lelaki berseluar pendek dalam keadaan mencurigakan masuk ke dalam ruangan solat wanita sambil merokok.

“Lelaki terbabit dilihat menghampiri penghantar makanan berkenaan yang ketika itu sedang solat.

“Saya terus memerhatinya melalui CCTV dan nampak beberapa kali dia cuba mengambil sebuah beg yang berada di sebelah kanan penghantar makanan berkenaan.

“Apabila dia mula pegang beg itu, saya terus keluar dari pejabat surau dan menyergahnya menyebabkan lelaki itu berpura-pura solat,” katanya.

Azhar berkata, lelaki berkenaan berulang kali menafikan dia cuba mencuri beg penghantar makanan terbabit, sebaliknya mendakwa datang ke surau berkenaan untuk solat.

Katanya, lelaki terbabit berjaya melarikan selepas menyedari terdapat pintu berdekatannya.

“Kami tidak sempat mengejar lelaki terbabit, bagaimanapun rakaman CCTV akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, dia kemudian membuat laporan polis termasuk menyerahkan rakaman CCTV itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut, hari ini.

Sementara itu, Yuhanizal mengakui terkejut dengan kejadian kerana pada awalnya dia menyangka lelaki terbabit orang kurang siuman.

“Ketika duduk tahiyat akhir, saya dengar suara lelaki itu meminta seseorang untuk duduk. Sebaik selesai memberi salam, saya nampak seorang jemaah surau sedang memarahinya.

“Saya terkejut apabila diberitahu lelaki terbabit cuba mencuri beg saya sebelum dia berjaya melarikan diri.

“Namun, saya berterima kasih kepada jemaah masjid itu kerana tindakan beraninya menghalang perbuatan lelaki terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 5:22pm
d