mutakhir

Tiga pengedar dadah pusat hiburan ditahan

Oleh BERNAMA

POLIS menahan tiga lelaki disyaki aktif dengan kegiatan pengedaran dadah di sekitar pusat hiburan di sekitar Melaka Raya, Melaka sejak sebulan lalu, dalam dua serbuan minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, dalam serbuan pada 12.20 tengah malam 6 Mac lalu, polis menahan dua suspek berusia 27 dan 29 tahun di sebuah rumah di Taman Kenanga, Kampung Lapan, sewaktu mereka hendak keluar dari kediaman itu.

Beliau berkata, susulan pemeriksaan, polis menemui 1,275 gram (g) dadah disyaki serbuk methaphetamine, pil eramin 5 (100 biji), syabu (13g) dan ketamin seberat 38g yang semuanya dianggar bernilai RM17,200.

“Polis turut merampas sebuah Toyota Vios serta pelbagai barangan kemas seperti rantai, gelang dan cincin serta wang tunai yang semuanya dianggar bernilai RM76,050.

“Susulan tangkapan itu, pihak JSJN Melaka dan JSJN Johor bekerjasama bagi menjejaki seorang lagi suspek berusia 24 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kes terbabit dan lelaki itu ditahan pada 4.45 petang 8 Mac lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ayer Keroh, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek itu tidak mempunyai rekod lampau dan mereka ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 5:24pm
d