mutakhir

Mahdzir hantar sendiri surat kepada Najib

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor hari ini diberitahu, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menghantar sendiri surat kepada Datuk Seri Najib Razak bagi memohon pengecualian dokumen tertentu supaya kementerian itu boleh membayar tuntutan interim kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

Bekas Setiausaha Bahagian (SUB) di Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kamarudin Abdullah, 61, berkata surat bertarikh 19 Julai 2017 yang menggunakan kepala surat menteri dihantar kepada bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan tanpa melalui beliau.

Menurut saksi pendakwaan ke-10 itu, bayaran interim itu adalah bagi membolehkan Jepak Holdings membekalkan diesel untuk sekolah luar bandar di Sarawak dan sekiranya pembayaran tidak dibuat, ia akan menyebabkan sekolah berkenaan ‘bergelap’.

“Saya bagaimanapun hanya terbabit ketika bayaran pertama interim dibuat (kepada Jepak Holdings) iaitu antara RM60 ke RM70 juta,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam yang mewakili Rosmah, Azrul Zulkifli Stork.

Rosmah, 68, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, dan di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Mahdzir dalam keterangannya sebelum ini berkata, beliau mengarahkan pegawai di KPM untuk menyediakan surat itu atas permintaan Rizal berikutan Jepak Holdings berdepan masalah mendapatkan bayaran untuk kerja genset diesel yang dilaksanakan sejak Januari 2017.

Kamarudin yang memberi keterangan pada hari ke-12 perbicaraan turut ditanya Azrul mengenai tindakan Mahdzir mengarahkan supaya satu klausa dalam Surat Setuju Terima (SST) berhubung projek solar hibrid itu dikeluarkan, yang saksi itu berkata pindaan terhadap klausa itu hanya boleh dibuat atas arahan Kementerian Kewangan.

Azrul : Setuju atau tidak, tiada arahan daripada Kementerian Kewangan (untuk buat pindaan).

Kamarudin: Tidak ada.

Dalam keterangannya sebelum ini, Mahdzir berkata, beliau bersetuju untuk mengeluarkan satu klausa dalam SST itu selepas menerima panggilan daripada Rizal bagi pihak Rosmah pada 10 November 2016.

Menurut Mahdzir yang juga saksi pendakwaan kelima, klausa itu adalah berkenaan hak KPM untuk menamatkan kontrak dan mengurangkan bilangan sekolah untuk pelaksanaan projek solar hibrid sekiranya ada sekolah yang telah disambung ke talian grid elektrik.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 5:49pm
d