mutakhir

Buat persiapan hadapi catuan air

Oleh Hassan Omar

JIKA sebelum ini pengguna di Zon Dua di Alor Gajah tidak mengalami kesukaran menjalani kehidupan harian kerana air tidak dicatu, hari ini mereka terpaksa menerima hakikat catuan itu sudah bermula.

Bermula 11 pagi, pengguna di taman perumahan dan kampung dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Limau, Taboh Naning, Tanjung Bidara, Gadek, Lendu dan Rembia terpaksa menghadapi kesukaran berkenaan apabila bekalan air dihentikan.

Sebelum ini, mereka terkecuali daripada dikenakan catuan berkenaan kerana sejak catuan air dilaksanakan mulai 29 Januari lalu, ia hanya membabitkan pengguna di Zon Satu di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Bagaimanapun, kebanyakan pengguna di Zon Dua sudah membuat persiapan bagi menghadapi catuan itu dengan menyediakan tong dan pelbagai bekas menyimpan air.

Peniaga makanan di pekan Lubok Cina, Junida Abdul Rahman, 49, berkata beliau membelanjakan RM70 untuk mendapatkan tong yang mampu menyimpan kira-kira 200 liter air selepas dimaklumkan mengenai catuan itu.

“Sebelum ini, kami tidak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan air kerana tempat kami sentiasa ada air hinggalah diberitahu catuan air akan dimulakan.

“Oleh sebab sibuk melayan pelanggan, tugas menadah air itu dibantu abang saya, Hamid, 63, dan cucu saudara, Mohd Ikmal Mohd Firdaus, 18, bagi memastikan tong dan pelbagai bekas dipenuhi air.

“Sebelum ini, saya hanya mendengar keluhan rakan di kawasan lain mengenai kesukaran menjalani rutin kehidupan seperti membasuh pakaian, memasak, mandi dan seumpamanya akibat catuan air tetapi kali ini, giliran kami pula menghadapinya,” katanya.

Sementara itu, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dalam kenyataannya berkata, catuan air di Zon Dua bermula hari ini hingga 22 Mac depan membabitkan tambahan 20 peratus daripada jumlah penduduk di negeri ini yang mendapat bekalan air dari Loji Gadek, Alor Gajah.

Catuan air di Zon Satu membabitkan Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin dimulakan dari 29 Januari hingga 9 Februari dan fasa kedua (10 Februari hingga 22 Februari) sebelum dilanjutkan dalam fasa ketiga (23 Februari hingga 8 Mac) dan fasa keempat (9 Mac hingga 22 Mac).

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 5:53pm
d