mutakhir

Tiong King Sing tolak jawatan Timbalan Menteri

Oleh Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahauddin

PRESIDEN Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dipercayai menolak jawatan Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung parti itu Datuk Nelson Balang Rining ketika dihubungi akhbar tempatan, The Borneo Post hari ini.

Ketiadaan nama Tiong dalam senarai 38 Timbalan Menteri yang mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menimbulkan tanya tanya ramai.

Tiong dikatakan tidak hadir ke majlis mengangkat sumpah jawatan di Istana Melawati di Putrajaya.

Nelson berkata, majlis tertinggi PDP membuat keputusan ketika mengadakan pertemuan di ibu kota semalam dan memutuskan Tiong, 58, tidak sepatutnya menerima jawatan itu selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan Kabinet baharu semalam.

“Jawatan itu tidak sesuai untuk presiden parti. Dia sangat senior kedudukannya dalam parti dan juga sudah lama berkhidmat sebagai anggota Parlimen,” katanya.

Ditanya adakah PDP mengesyorkan Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau sebagai pengganti Tiong, Nelson tidak menolak andaian itu.

“Saya tidak mahu menggunakan perkataan ‘pengganti’ tetapi namanya (Anyi Ngau) ada disebut dalam mesyuarat,” katanya.

Sementara itu, Harian Metro cuba menghubungi dua pegawai khas kepada Tiong namun kedua-duanya menjawab tidak tahu keberadaan Ahli Parlimen itu dan tindakan menolak jawatan timbalan menteri berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |
  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 8:13pm
    d