mutakhir

Lima kampung dinaiki air

Oleh Juwan Riduan

HUJAN berterusan sejak semalam menyebabkan lima kampung di Nabawan dinaiki air sejak pagi tadi.

Kampung terbabit ialah Kampung Pemuntarian, Ulu Mosopoh, Salarom Baru, Tiang dan Nakuyang.

Laluan utama untuk ke kampung berkenaan turut dinaiki air sedalam dua meter, bagaimanapun setakat ini tiada pemindahan penduduk dilakukan dan keadaan banjir terkawal.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Keningau, Penguasa Bomba Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan berkata, banjir bermula sejak pagi tadi susulan limpahan air Sungai Pemuntarian.

“Namun keadaan banjir terkawal dan tiada pemindahan penduduk dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Nabawan bagi persediaan sekiranya ada penduduk terpaksa dipindahkan.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nabawan berada di lokasi banjir bagi memantau keadaan di kawasan dinaiki air.

“Turut membantu memantau situasi banjir anggota polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 8:29pm
d