mutakhir

'Saya pantau menteri, timbalan menteri Pas'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan ketiadaan namanya dalam Kabinet kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai langkah berkesan parti memantau kerajaan.

Abdul Hadi berkata, beliau sebagai Presiden lebih berkesan memantau kerajaan, menteri dan timbalan menteri dari Pas yang duduk dalam kerajaan.

“Ini perlu difahami oleh ahli-ahli Pas khususnya dan oleh mereka yang nak mempelajari konsep politik Islam yang kita perkenalkan.

“Mudah-mudahan menjadi satu model yang sangat baik dan kita mengharapkan kepimpinan dan Perdana Menteri akan berjaya dan kita mendukung dengan sepenuhnya sementara waktu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam Perutusan Khas Presiden Pas yang disiarkan secara langsung dalam Facebooknya malam ini.

Menurutnya, pihaknya mengharapkan kepada rakyat memberikan sokongan yang padu dan sama-sama berdoa untuk kejayaan kerajaan yang dibentuk itu.

“Pas mengambil langkah mengambil alih kerajaan untuk menyelamatkan kerajaan dan negara dengan proses demokrasi dengan mengambil sunnah Nabi SAW iaitu menyatukan umat Islam dan menyatukan masyarakat majmuk.

“Hal ini apabila berlakunya kerja memecahkan diri sendiri oleh Pakatan Harapan (PH), bukan kami yang buat (iaitu) terdapat usaha menggulingkan (bekas) Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) melalui tekanan dan desakan untuk mengambil alih pemerintahan melalui atap,” katanya.

Beliau berkata, keputusan memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi menghalang pusingan U yang dibuat dua kali oleh PH apabila mulanya menyokong Dr Mahathir kemudian tidak menyokong yang mana ia satu penipuan nyata.

“Alhamdulillah akhirnya kita berjaya dengan cara demokrasi, bukannya pintu belakang, mengikut perlembagaan yang sah. Ia tidak mengorbankan rakyat, tidak menyusahkan rakyat. Akhirnya kita berjaya bentuk Kabinet perpaduan umat.

“Ini satu perubahan yang perlu dilihat secara demokratik dan Pas menghantarkan nama untuk menjadi menteri dan timbalan menteri (untuk) terbabit di dalam Kabinet berkonsepkan parti memerintah kerajaan.

“Kita menghantar wakil, menteri dan timbalan menteri yang melaksanakan peranan eksekutif untuk mengurus dan mentadbir, bagi membuktikan kemampuan Pas dalam mentadbir dan mengurus dalam keadaan parti perlu memantau,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |
  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 11:04pm
    d