mutakhir

Lobster tanpa permit dirampas

Oleh Rosyahaida Abdullah

CUBAAN membawa masuk udang kara atau ‘lobster’ dari Indonesia tanpa sebarang dokumen berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang semalam.

Hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), MAQIS merampas 70 ekor udang kara terbabit daripada oleh seorang warga tempatan ketika melalui laluan penumpang.

Dalam satu kenyataan MAQIS hari ini, rampasan dibuat selepas pemeriksaan pada kotak yang dibawa individu terbabit.

“Individu berkenaan mendakwa membawa masuk udang kara itu untuk kegunaan sendiri tetapi dia tetap perlu mengemukakan dokumen seperti permit import dan sijil kesihatan dari negara asal tetapi malangnya semua dokumen berkenaan tiada.

“Oleh itu, kesemua udang kara terbabit dirampas untuk tindakan selanjutnya oleh MAQIS,” kata kenyataan terbabit.

Menurut MAQIS, perbuatan mengimport udang kara tanpa permit sah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 11:18am
d