mutakhir

Komen Facebook perempuan lain antara faktor perceraian

Oleh Malik Muhamad

SUAMI memberi komen di ruangan Facebook perempuan lain sehingga menimbulkan syak wasangka isteri dikesan antara faktor yang menyumbang berlakunya perceraian di Terengganu.

Data yang dilaporkan Majlis Sulh itu turut mendedahkan, perceraian berlaku disebabkan masalah seks seperti suami isteri tidak tahu melakukan hubungan kelamin, penderaan seksual (liwat) kepada pasangan, suami mati pucuk dan alat kemaluan isteri tertutup.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, statistik pendaftaran pembubaran perkahwinan sejak 2015 hingga tahun lalu di Terengganu menunjukkan peningkatan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod laporan Majlis Sulh itu, usia paling ramai bercerai adalah dalam kalangan pasangan berusia antara 28 hingga 35 tahun.

Katanya, dalam tempoh lima tahun terakhir itu juga, direkodkan sebanyak 21,949 kes perceraian dengan purata sebanyak 4,389 kes setahun.

“Alasan paling popular digunakan pasangan yang mahu bercerai adalah tiada kesefahaman antara suami isteri, secara puratanya dianggarkan lebih 50 peratus fail kes perceraian menggunakan alasan itu, selain suami isteri mendakwa mempunyai kata sepakat untuk bercerai.

“Berdasarkan data dilaporkan Majlis Sulh, masalah kewangan juga menjadi alasan utama perceraian apabila isteri mendakwa suami malas bekerja atau tiada kerja dan suami gagal memberi nafkah.

“Alasan paling remeh pula yang dikesan apabila ada isteri memohon perceraian kerana suami hanya mahu tinggal di rumah kedua ibu bapanya berbanding tinggal di rumah sendiri atau rumah sewa,” katanya kepada media, hari ini.

Wan Mohd Zakri berkata, alasan lain perceraian yang direkodkan dalam laporan itu turut mendedahkan, perceraian berlaku akibat suami tidak solat dan puasa, suami berjudi atas talian, suami dalam tahanan penjara dan isteri mengandung hasil hubungan dengan lelaki lain.

“Bagaimanapun, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya jika kedua-dua pihak (suami isteri) mengamalkan sikap terbuka dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak pendamai.

“Kami sudah menggariskan kaedah untuk mengatasinya termasuk menguatkuasakan pelaksanaan Jawatankuasa Pendamai dan Hakam,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 12:49pm
d