mutakhir

Saya kecewa - KPN

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador meluahkan perasaan kecewanya terhadap tindakan pegawainya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melindungi pemandu lori lebih muatan.

Menurutnya, budaya mengambil wang rasuah seolah-olah tidak memberi kesan kepada psikologi mereka sedangkan pelbagai amaran dan nasihat sudah dilakukan.

“Setakat ini, saya belum menerima laporan lengkap berhubung kes berkenaan (penahanan 12 pegawai polis), namun saya mengalu-alukan tindakan SPRM sekiranya mereka mempunyai maklumat berhubung salah laku anak buah saya.

“Saya tidak boleh kata apa, kecewa memang kecewa dan yang lebih menyedihkan ahli keluarga terpaksa menanggung kesan akibat perbuatan itu.

“Yang mengambil (rasuah) adalah suami, kalau mereka tidak fikir nasib keluarga, maka teruskanlah, namun bila tertangkap tiada lagi sesalan kerana sudah cukup larangan, amaran dan nasihat diberi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kelantan di Pasir Mas hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya akan memberi kerjasama 100 peratus kepada SPRM untuk kes berkenaan.

“SPRM akan melengkapkan kertas siasatan untuk proses pendakwaan jika bukti cukup. Sekiranya tidak cukup standard untuk pendakwaan, mereka akan serahkan kepada polis untuk tindakan disiplin.

“Saya masih tidak berputus asa dan menerusi Jabatan Pengurusan akan terus berusaha memberikan kesedaran kepada pegawai dan anggota bagi mengelak daripada pengambilan rasuah,” katanya.

Semalam, seramai 12 pegawai polis dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang ditahan SPRM kerana dipercayai melindungi pemandu lori lebih muatan.

SPRM menahan 11 daripada mereka di sekitar Pulau Pinang, manakala seorang lagi di Kuala Lumpur dalam satu operasi khas SPRM antara 10 pagi hingga 6 petang semalam.

Difahamkan, tangkapan itu turut membabitkan seorang pegawai kanan Bahagian Trafik IPK Pulau Pinang.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 1:13pm
d