mutakhir

ESSCOM buru tali barut KFR

Oleh Abdul Rahemang Taiming

KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melancarkan Ops Gasak awal pagi hari ini di Kunak bagi menjejaki tali barut kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) yang menjadi dalang penculikan di pantai timur Sabah.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi di tiga lokasi berasingan di Kunak itu tertumpu di penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, dalam operasi bermula 3.30 pagi itu, seramai 187 penduduk yang tinggal di kawasan perkampungan atas air di Kampung Pangi, Kampung Hampilan dan Kampung Pangkalan, diperiksa.

“Daripada jumlah itu, seramai 42 individu membabitkan 24 lelaki dan 18 wanita, termasuk lima kanak-kanak ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan meragukan.

“Kesemua yang ditahan adalah warga Filipina berusia antara tiga hingga 63 tahun dan sudah dihantar ke pusat tahanan sementara (PTS) Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum diusir pulang ke negara asal masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hazani berkata, operasi yang dilancarkan secara berkala itu, bertujuan untuk mengesan dan mengekang kemasukan tali barut KFR dalam kalangan PATI di Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Kami akan memperhebatkan lagi operasi (Ops Gasak) tahun ini dalam usaha untuk membasmi kehadiran PATI, sekali gus memburu saki baki tali barut KFR disamping meneutralkan kawasan ‘hotspot’ (panas) daripada sebarang unsur jenayah,” katanya.

Operasi disertai 206 anggota keselamatan dan awam membabitkan Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Am Batalion 17 dan Pasukan Polis Marin.

Ia turut disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Sabah Electricity Sdn Bhd dan Bahagian Hal Ehwal Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri dan Majlis Daerah Kunak.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 2:49pm
d