mutakhir

Tak mengaku tipu pakej pelancongan

Oleh Mohd Khidir Zakaria

PEMANDU van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Rembau, hari ini, atas pertuduhan menipu pakej pelancongan ke Sri Lanka, tahun lalu.

Tertuduh, K Seva Nesan, 32, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu R Visawanathan, 67, dengan memperdaya mengenai pakej pelancongan ke Sri Lanka sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM2,900.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Gemas, Tampin, pada 10.52 pagi 12 April 2019.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Amyra Natasya Azhar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 April depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 2:59pm
d