mutakhir

Lebih 600 hari tak jumpa anak

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin dan Faliqah Alia Radin Mohd

“SUDAH dua tahun saya tidak bertemu anak-anak. Saya amat rindukan mereka,” luah kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Begum, 43, yang tidak dibenarkan berjumpa dua anaknya oleh bekas suami.

Katanya, dia dihalang bekas suami untuk mengambil dua anaknya masing-masing berusia lima dan enam tahun walaupun sudah mendapat perintah mahkamah bahawa hak penjagaan penuh terhadap mereka.

“Sebelum ini, kedua-dua anak di bawah jagaan bekas suami berusia 49 tahun selepas hak penjagaan penuh diberikan kepadanya sebagai salah satu syarat perceraian kami pada Februari 2018.

“Bagaimanapun, bekas suami sentiasa memberikan pelbagai alasan untuk mengelak saya daripada bertemu dengan anak-anak selain cuba memendekkan tempoh mereka bersama (saya).

“Tindakannya itu menyebabkan saya nekad memfailkan hak penjagaan penuh terhadap mereka pada Julai 2018 dan berjaya mendapat perintah berbuat demikian pada Februari lalu. Namun, bekas suami masih enggan menyerahkan anak-anak,” katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur, hari ini.

Begum berkata, dia buntu memikirkan jalan untuk mendapatkan semula kedua-dua anaknya itu sehingga terpaksa membuat tiga laporan polis berasingan sejak Februari lalu hingga semalam.

“Apa yang saya mahu proses penyerahan anak-anak dipercepatkan dengan kerjasama daripada bekas suami kerana sudah lebih 600 hari saya tidak bertemu mereka.

“Sehingga kini, sudah pelbagai cara saya ambil termasuk pergi ke rumah bekas suami namun dia tidak berjaya dikesan selain nombor telefon disekat. Walau apa pun yang berlaku, saya akan terus berusaha mencari jalan mendapatkan anak-anak memandangkan mereka adalah hak saya,” katanya.

Sementara itu, usaha wartawan Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan bekas suaminya gagal apabila dia tidak dapat dihubungi.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 3:42pm
d