mutakhir

Mudah untuk Presiden pantau - Mohd Amar [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

KETIADAAN Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam barisan kabinet dilihat lebih baik dalam usaha memantau kepimpinan kerajaan baharu terutama pemimpin dalam kalangan PAS.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dari awal lagi Abdul Hadi tidak berminat untuk berada dalam kabinet.

Ini kerana, katanya, Abdul Hadi merasakan mungkin agak terhad untuk menegur dan memantau kerajaan baharu jika terbabit dalam jemaah menteri.

“Pada pandangan Datuk Seri Presiden (Abdul Hadi) pun lebih baik berada di luar kerana dia bebas untuk menegur, melihat dan memantau terutama (menteri) dalam kalangan PAS, lebih terbuka.

“Sebab kalau berada dalam kabinet, dia terhad dengan keputusan dan itu yang dapat saya lihat dari keputusan Presiden,” katanya kepada pemberita di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) selepas menghadiri mesyuarat EXCO, di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas mengenai jangkaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pentadbiran kerajaan baharu ini akan bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Mohd Amar menyifatkan ia satu pandangan positif.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, kenyataan itu bagaimanapun dilihat agak bertentangan dengan pendirian Dr Mahathir yang sebelum ini agak negatif terhadap pembentukan kabinet baharu yang diumumkan sejak Isnin lalu.

“Terima kasih atas pandangan positif Tun Mahathir pada kerajaan baharu sebab sebelum ini dia agak negatif.

“Dari sudut politik, itu satu ‘endorsement’ (sokongan) daripada Tun Mahathir terhadap pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan baharu,” katanya.

Jangkaan itu dibuat Dr Mahathir menerusi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, kira-kira selama 80 minit semalam.

  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 3:53pm
    d