mutakhir

Mak, anak tiri sama menagih

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

WANITA dan anak lelaki tirinya ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak Tengah kerana menjadikan rumah mereka sebagai ‘port’ menghisap dadah.

Mereka ditahan bersama 21 individu lain berusia 16 hingga 68 tahun di Felcra Changkat Lada, Seberang Perak dekat sini.

Penahanan sempena Ops Perdana yang bermula 5 petang semalam hingga 6 pagi hari ini.

Ketua Pegawai AADK Perak Tengah Nur Huwaina Ahmad berkata, wanita berusia 47 tahun bersama anak tirinya yang berusia 17 tahun dipercayai membenarkan rumah mereka untuk aktiviti penagihan sejak berpindah di situ lebih setahun lalu.

Katanya, mereka ditahan bersama empat lagi lelaki termasuk dua remaja 16 dan 17 tahun.

“Wanita itu sudah 15 tahun menagih dadah manakala, anak tirinya yang tidak bersekolah sejak tahun lalu, mengaku dua tahun mengambil dadah.

“Dipercayai suami wanita itu terbabit dadah, namun ketika serbuan dia tiada di rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat AADK Perak Tengah di Seri Iskandar, hari ini.

Nur Huwaina berkata, operasi turut dijalankan di beberapa lokasi dikenal pasti di Titi Gantong dan Seri Iskandar.

Katanya, 11 individu termasuk dua beranak itu positif syabu, manakala 10 lagi positif opiat.

Seramai 19 individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983, manakala dua lagi melanggar syarat pengawasan mengikut Subseksyen 6(2) APD.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 4:11pm
d