mutakhir

Jual dadah untuk sara teman wanita [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MAHU hidup mewah dan menyara teman wanita membuatkan seorang lelaki mengambil jalan pintas menjadi pengedar dadah untuk mendapatkan wang.

Kegiatan lelaki berusia 52 tahun itu terbongkar selepas polis menahannya dan menemui pelbagai jenis dadah di tiga lokasi berasingan, 4 Mac lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi khas dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hasil maklumat awam dan risikan.

Menurutnya, anggota polis menahan suspek yang berada dalam kereta jenis BMW di tepi jalan dekat Publika, Jalan Dutamas di Kuala Lumpur 10.30 malam.

“Pemeriksaan dalam kereta menemui dadah jenis methamphetamine seberat 61 gram (g), ganja (82g), pil ekstasi (324g) dan pil eramin 5 (40g) serta wang tunai RM3,200.

“Penahanan suspek itu kemudian membawa polis kepada pemeriksaan di dua unit kondominium di Damansara Perdana, pada hari sama,” katanya pada sidang media di IPD Sentul, hari ini.

Menurut Mazlan, serbuan di kediaman pertama menahan dua wanita warga Vietnam berusia 25 dan 29 tahun termasuk teman wanita suspek, selain merampas dadah yang dianggarkan seberat 253 gram.

“Antara dadah dirampas adalah methamphetamine (50.50g), ketamin (77g), ganja (60g), pil ekstasi (56.3g) dan serbuk ekstasi (9.2g).

“Manakala serbuan di kediaman kedua pula menemui methamphetamine (2,840g), ketamin (504g), ganja (260g) dan pil ekstasi (934g). Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.

Katanya, ujian saringan air kencing ke atas suspek lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mendapati, dia mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes tipu.

Beliau berkata, suspek yang sudah berkahwin sebelum ini bekerja sebagai pembancuh kopi dan mula membabitkan diri dengan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

Tambah beliau, suspek direman tujuh hari bermula 5 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 4:55pm
d