mutakhir

Penduduk rayu Ketua Menteri atasi krisis air

Oleh Hassan Omar

PENDUDUK menyambut baik azam Ketua Menteri baharu, Datuk Sulaiman Md Ali untuk menyelesaikan isu catuan air di Melaka kerana tidak mampu menanggung beban kekurangan bekalan air yang sudah berlanjutan lebih sebulan.

Lebih memeritkan, ada pengguna terutama di Zon Dua, Alor Gajah yang sebelum ini tidak pernah mengalami catuan air, tidak sempat membuat persediaan menadah air untuk menghadapi catuan air mulai 5 petang semalam.

Ia menyebabkan sesetengah peniaga menanggung kerugian akibat tidak mampu menjalankan perniagaan hari ini kerana bekalan air hanya akan pulih selepas 5 petang hari ini.

Peniaga air tebu, Mohd Kamal Ali, 35, mendakwa tidak mampu menjalankan perniagaan itu hari ini berikutan ketiadaan air untuk membasuh tebu dan pelbagai bekas air tebu yang digunakan semalam.

“Saya tidak tahu catuan air di Zon Dua akan dimulakan mulai 5 petang semalam kerana tidak pernah melayari Facebook Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan hanya menyedari perkara itu apabila mendapati kediaman saya tiada bekalan air selepas pulang lewat petang semalam.

“Akibatnya, tebu saya tidak boleh dicuci sebelum memulakan perniagaan pada 12 tengah hari ini dan bekas menyimpan air tebu digunakan semalam tidak dapat dibasuh,” katanya ketika ditemui di gerai air tebunya di Kampung Londang, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Sulaiman supaya mencari kaedah terbaik untuk mengatasi isu berkenaan, terutama menjelang Ramadan tidak lama lagi.

Penduduk, Mohd Nur Najwan Yaakob, 16, berkata bapanya, Yaakob Abdul Ghani, 53, membelanjakan RM350 untuk mendapatkan tangki mampu menyimpan 1,000 liter air bagi menghadapi catuan air.

Katanya, sebelum ini, kampung berkenaan yang dikategorikan dalam Zon Dua tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan air, tetapi mulai semalam, catuan dimulakan hingga 22 Mac depan.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 5:11pm
d