mutakhir

Saravanan tumpu isu belia menganggur

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Sumber Manusia akan memberi tumpuan bagi mengatasi isu belia menganggur serta tidak mendapat peluang pekerjaan yang kini agak kritikal, kata menterinya yang baharu, Datuk Seri M Saravanan.

“Ketika ini pekerja asing menjadi saingan hebat kepada golongan belia dan ia sangat kritikal, ini adalah satu perkara penting yang perlu diatasi kementerian sebaik mungkin,” katanya kepada media sejurus tiba bagi memulakan tugas pada hari pertama beliau di kementerian itu di Putrajaya.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Amir Omar serta pegawai kanan kementerian.

Saravanan berkata, beliau juga akan memberi fokus untuk memantapkan hubungan antara kementerian dengan kesatuan sekerja yang ketika ini dilihat tidak begitu memuaskan.

Katanya, beliau akan menggunakan pendekatan berhemah serta berbincang dengan pihak berkenaan, bukannya ‘menunjuk kuasa’ bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu berkaitan kebajikan pekerja dan hak kesatuan.

Saravanan turut mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) J Solomon yang menunjukkan isyarat positif bahawa kesatuan itu masih yakin dengan kementerian dalam mencari kaedah terbaik bagi memantapkan hubungan kedua-dua pihak.

Semalam, Solomon dilaporkan berkata, MTUC berharap pelantikan Saravanan dapat memastikan hak pekerja dan kesatuan sentiasa dipertahan, selain memahami penderitaan pekerja ditindas yang terpaksa bergelut untuk menyara hidup serta merapatkan jurang pendapatan.

Saravanan juga berkata, beliau akan meneruskan semua program yang dirancang kementerian sebelum ini dan hanya akan menambah baik mana-mana aspek yang difikirkan perlu.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu
  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 5:16pm
    d