mutakhir

Tahlil tergendala akibat kebakaran

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

“SAYA nampak api marak menyambar rumah sepupu terletak di belakang rumah jiran kami yang kebetulan mengadakan majlis tahlil,” kata Mazni Ibrahim, 41.

Kebakaran yang dipercayai berlaku pada 8.50 malam di Kampung Nail, Kuala Besut disedari penduduk yang kebetulan pulang dari surau untuk ke majlis tahlil di sebuah rumah berhampiran.

Mazni berkata, sepupunya Che Hanas Harun, 56, dan anaknya, Siti Nurhaliza Hussin, 23, tiada di rumah kerana menghadiri majlis perkahwinan saudara di Kedah sejak Jumaat lalu.

“Semasa kejadian saya berada di rumah jiran untuk membantunya menyediakan jamuan selepas majlis tahlil.

“Tiba-tiba ada yang memberitahu terhidu bau hangit, apabila keluar kami nampak api sedang marak menyambar bahagian dinding rumah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mazni berkata, bahagian atas rumah yang mempunyai tiga bilik tidur tidak dapat diselamatkan, namun bahagian dapur terselamat.

Katanya, dia terus memaklumkan kepada sepupunya mengenai kejadian itu dan memaklumkan akan pulang secepat mungkin untuk melihat keadaan rumahnya.

Katanya, majlis tahlil yang sepatutnya bermula pada 9 malam turut tergendala seketika.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Besut, Ridzuan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.02 malam dan ke lokasi dengan kekuatan lapan anggota.

“Api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah berdekatan dan operasi tamat pada 11.04 malam.

“Hampir 80 peratus rumah yang diperbuat daripada kayu dan batu itu terbakar. Tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 5:49pm
d